Melapur diri sebagai Pembantu Teknik

June 26, 2008

Saya mendapat Dermasiswa JPA semasa belajar di UTM. Selepas menamatkan pengajian Diploma Elektrik Perhubungan (DEP) pada 1983 saya telah ditawarkan jawatan sebagai Pembantu Teknik di Telekom oleh JPA. Saya diarahkan supaya melapurkan diri di Ibu Pejabat Jabatan Telekom Malaysia, ketika itu di Bukit Mahkamah Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Semasa melapurkan diri saya hanya mengenakan T-shirt tanpa kolar dan rambut saya pada ketika itu stail ‘Afro’ macam David Arumugan Alleycats.

Bila keluar dari bilik Pengarah saya telah ditegur oleh sekretari beliau, “Nasib awak baik tak kena pergi gunting rambut dulu baru boleh lapur diri”. Saya agak terkejut dan terus bertanya, “Ehh rambut saya panjang ke?” “Taklah panjang tapi tak kemas. Semalam ada seorang TA baru kena marah dan disuruh gunting rambut dulu baru boleh masuk lapur diri” jawab sekretari tadi.

Saya hanya mampu tersenyum dan kemudian duduk sementara menunggu surat lapur diri untuk bertugas disiapkan. “Baru lapur diri dah kena marah?” kata saya dalam hati. Alhamdulillah saya tak kena marah atau kena lecture oleh Pengarah. Selamat.. selamat.. lega betul hati.

Selepas menunggu beberapa ketika kerani di pejabat berkenaan menyerahkan kepada saya surat berkenaan.

Pada ketika itu saya merasa sangat gembira kerana di tempatkan di Pejabat Telekom Tempatan (PTT) Kluang, Johor. Dekat dengan rumah mak abah, mana tak gembira. Ada rakan saya yang diarahkan bertugas di Sabah dan Sarawak, tapi nasib saya agak baik kerana ada kekosongan jawatan berkenaan di Kluang. Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah jua.

Bilamana saya teringat kisah ini saya tersenyum sendirian dan mengucap syukur kepada Allah. Sebenarnya banyak yang kita tidak ketahui tentang ketentuan Allah dalam merencanakan perjalanan hidup ini. Bukan saya menafikan perlunya usaha dan ikhtiar dilakukan tetapi pentingnya doa dan harapan kepada Allah untuk memperkenankan keinginan dan hajat kita.

Anda bagaimana? Kena bertugas di perantauan atau dapat balik kampung?


Anjakan teknologi komputer

April 25, 2008

Saya akui saya bukan pakar dalam bidang komputer dan saya juga tidak mengambil jurusan Sains Komputer semasa di UTM dahulu. Bukan tidak mahu tetapi kredit tidak mencukupi untuk membolehkan saya mengambil jurusan berkenaan.

Oleh kerana tidak mendapat credit dalam Add Maths saya terpaksa mengambil jurusan Kejuruteraan Elektronik. Sedih dan pilu rasanya hati pada ketika itu, macam kata pepatah “bertepuk tangan sebelah…”. Dah nasib badan apa nak buat.

Pada penggal pertama kursus kejuruteraan di UTM dulu selalu juga saya berjalan-jalan berdekatan dengan makmal komputer untuk melihat dengan lebih dekat komputer yang digunakan oleh pelajar jurusan Sains Komputer.

Saja nak tengok dengan lebih dekat komputer terminal dan punch-card machine yang terdapat dalam makmal berkenaan. Masa tu belum ada lagi PC. Student akan menggunakan terminal komputer yang disambungkan kepada  mainframe. Kebanyakan mereka menggunakan program PASCAL. Lepas mereka buat short-programing mereka akan print pada punch-card dan juga print-out program kepada kertas yang berjela-jela. Saya tidak faham pun apa yang mereka buat.

Pada waktu itu masih belum ada lagi program seperti Java, php atau asp. DOS seperti MS atau Apple pun belum ada, apa lagi sofwer seperti Microsoft Office, Photoshop, Brice dan lain-lain, semua belum lagi dicipta.

Seingat saya kebanyakan syarikat besar pada masa itu menggunakan mainframe dengan program COBOL untuk pengiraan P&L dan pembayaran gaji.

Jika kita bandingkan komputer dua puluh tahun dahulu dengan komputer pada masa sekarang kita dapati anjakan teknologi komputer yang telalu besar. Dahulu tiada PC, yang ada hanya mainframe, tape dan punch-card. Sekarang bukan setakat PC tetapi sudah ada PDA, PDA phone dan komputer dalam telefon bimbit lagi. Memang besar anugerah Allah kepada manusia.

Saya rasa amat beruntung kerana dapat melihat perkembangan dunia komputer dari mainframe kepada handheld, dari OS DOS kepada Windows, Windows 3, Windows 98, Windows 2000, Windows ME, Windows XP dan Windows Vista. Saya berpengalaman menggunakan semula jenis OS Windows kecuali Vista masih belum ada peluang.

Pengalaman yang saya lalui ini mungkin disebabkan saya seorang “computer nerd”, selain dari minat dan sifat ingin tahu yang tinggi, saya memang tidak melepaskan peluang untuk mempelajari sesuatu bila bertemu dengan perkara yang berkaitan dengan komputer. Bagaimanapun masih banyak application script yang perlu saya pelajari secara mendalam terutama yang melibatkan web applications.

Bagaimana pula dengan anda, macam saya juga atau anda terus berkenalan dengan Windows XP dan Microsoft Office?