Sebagai seorang anak pernoreh getah kalau tak pandai menoreh tu saja la. Seingat saya sejak dari saya berumur 6 tahun saya dah mula mengikuti emak dan bapa pergi menoreh. Pada masa itu masih lagi ikut untuk suka-suka sahaja, banyak bermain daripada menolong. Budak-budak la kan, betul tak?
Pada masa tu bapa saya masih belum ada motorsikal, yang ada cuma basikal berpalang dan berkarier besar. Basikal tu bapa saya guna untuk pergi awal pagi seorang diri. Saya dan abang saya akan mengikuti kemudian dengan berjalan kaki bila hari sudah agak terang.
Perjalanan tak lah jauh tapi kalau berjalan ke Ladang No 8 tu ada lah dalam 4-5 kilometer, kalau Ladang No 1 dalam 4 km dan kalau Ladang No 5 dalam 7 km. Dari kecil dah memang biasa berjalan setiap hari ke ladang dan kemudian ke sekolah. Alhamdulillah sampai sekarang masih sihat. Begitu juga dengan emak saya yang sekarang berusia 78 tahun, walaupun ingatan dia tak seperti dulu tapi badan dia masih kuat untuk berjalan.
Bila saya sudah mula bersekolah dalam darjah satu, assignment pertama di ladang getah ialah kena pungut getah beku dalam cawan getah (kami panggil aktiviti ini sebagai ‘kopek cawan’). Ini adalah aktiviti tetap ketika cuti sekolah dan setiap hari Jumaat dan Sabtu. Untuk makluman dulu hari Jumaat dan Sabtu adalah cuti sekolah hujung minggu, tak ingat pulak bila kerajaan Johor tukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
Kata orang dalam apa-apa hal pun perlu ada peningkatan, jadi bila umur dah meningkat 10 tahun tangan pun dah gatal nak belajar menoreh. Hemmm… nampak senang je… tapi bila cuba menoreh maka habis ‘luka’ plan getah tu. Maksud luka kat sini ialah torehan terlalu ‘dalam’ sehingga terkena pada lapisan yang berair pada pohon getah. Bila ini berlaku, air akan mengalir keluar dari pohon getah dan bercampur dengan getah yang keluar dari pelan torehan maka kemungkinan getah yang masuk ke dalam cawan tadahan akan membeku.
Kesan jangka panjang pula ialah bahagian pelan yang luka tadi akan ‘berlubang’ . Pihak pengurusan ladang amat tak suka jika perkara ini berlaku kerana kesan jangka panjang yang merosakkan pokok getah. Tapi saya baru belajar menoreh… apa nak buat, mesti luka punya pelan torehan tu. Tapi tak lama lepas tu pandai la menoreh.
Bagaimanapun kalau kurang hati-hati torehan yang bukan ‘profesional’ tidak akan menghasilkan getah yang banyak berbanding dengan torehan ‘profesional’ orang lama seperti emak dan bapa saya. Bila dah pandai menoreh maka tanggungjawab pun jadi lebih besar. Bukan setakat menoreh pada waktu siang sahaja tetapi yang menjadi nostalgia ialah pergi menoreh pada jam 11.00 malam…. percaya tak?
Di ladang getah biasanya jika ada keperluan pekerja akan diminta untuk menoreh “2 kali”. Setiap pekerja diberikan 2 lot ladang dan setiap satu dalam saiz 5-6 ekar. 2 lot ini akan ditoreh secara bergilir, bermakna satu hari toreh lot A dan esoknya toreh lot B pula, kemudian ulang kitaran berkenaan. Ini bagi membolehkan pokok getah mendapat ‘rehat’. Untuk abah ada 2 lot dan untuk mak juga ada 2 lot. Kalau kena perintah menoreh 2 kali, kami kena menoreh 4 lot sekali gus…
Menoreh 2 kali ni kira arahan biasa dari pihak ladang. Tapi sebagai penoreh nak habiskan menoreh 1 lot pun akan mengambil masa sehingga 5-6 jam jia menoreh bersaorangan. Jadi kalau kena menoreh 2 kali pukul berapa nak habis? Tapi keluarga saya agak beruntung kerana adik beradik agak ramai dan semua boleh membantu emak dan abah menoreh.
Saya pun tak ingat macam mana saya dan 3 orang abang serta bapa saya boleh pergi menoreh pada jam 11.00 malam. Rasanya pasal pada keesokan harinya kami masing-masing ada hal sendiri dan tidak dapat membantu emak dan bapa seperti biasa pada siang hari.
Kali pertama saya pergi menoreh pada jam 11 malam ialah ketika saya berumur saya 11 tahun. Rasanya kami hanya buat kerja ‘gila’ ni dalam 7-8 kali je sebab bapa takut dituduh sebagai pencuri getah… Lepas tu sehingga saya balik cuti semester pun kami tak pernah pergi menoreh pada jam 11.00 malam lagi. Tapi memang best giler sebab menoreh dan kerja memungut getah habis awal dan dalam jam 4.30 pagi kami dah berdengkur di rumah padahal orang lain baru nak bergerak ke ladang untuk menoreh 2 kali.
Itu lah pengalaman anak penoreh yang tidak dapat saya lupakan.
Jika anda adalah anak penoreh getah, macam mana boleh challenge tak cerita ni?
Posted by azmitaufik