Anda pernah pegang getah beku dan sekerap?

Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran ladang getah. Bagi kami yang tinggal di ladang getah, kami tak sebut ladang tapi sering menggunakan perkataan “estet”. Rengam Estate… tu dulu sekarang.. entah lah, kejap dulu Yule Catto Plantations, sekarang mungkin dah tukar nama lain.

Kali terakhir saya meninjau ke tempat lahir saya di Rengam Estate ialah pada tahun 2005, dua hari sebelum menyambut Aidilfitri. Agak terkejut juga kerana tiada lagi rumah di kawasan berkenaan tetapi yang ada hanya pokok kelapa sawit yang sudah tinggi.

Tidak nampak orang Melayu, Cina atau India yang mungkin saya kenali di kawasan kediaman pekerja tetapi rata-rata nampak macam orang Indon dan Bangla. Mereka pun macam terkejut melihat saya dan saya pun cuak juga.

Cepat-cepat saya reverse kereta dan bergerak menuju ke pekan Rengam semula. Nampaknya tiada nostalgia lagi kat estet berkenaan. Semasa dalam perjalanan ke pekan Rengam perhatian saya tertumpu pada kiri dan kanan jalan dan cuba mencari kesan-kesan yang boleh saya ingati. Padang bola dah tak terbela, begitu juga banglow Pengurus Besar ladang pun macam tak tidak didiami lagi. Mungkin mereka tidak lagi tinggal di banglow estet.

Bagaimanapun saya nak cerita pasal getah beku. Ya, getah beku dari pokok getah. Sejak sebelum bersekolah lagi (dulu-dulu mana ada tadika) saya dah mula ikut mak dan bapak pergi menoreh. Masa tu hanya pandai membersihkan mangkuk getah je. Banyak main dari tolong buat kerja sebenarnya. Kami tak panggil mangkuk tapi cawan getah.

Membantu mak dan bapak untuk membersihkan getah beku (kami sebut getah sekerap) dari cawan getah ni memang seronok kalau getah beku banyak. Yang tak seronok tu bila tangan berbau bacin dan lebih tak seronoklagi bila getah belum sempat beku bercampur dengan air hujan. Bau bacin semacam dan bercampur dengan lekit getah yang melekat pada tapak dan jejari tangan…. heeemm. Nak buat macam mana dah jadi anak penoreh.

Kadang-kala bila boring saya akan ambil sedikit getah beku dan ikat getah tersebut dengan sekerap kering yang diambil dari bekas torehan (kita kat pelan getah) yang agak panjang macam tali. Saya cari getah sekerap yang besesuaiain dan ikat di sekeliling getah beku tadi sehingga menjadi macam ‘bola’. Kalau kena gaya memang cantik, macam bola baling. Nak buat apa ya dengan bola ni… buat baling apa-apa je lah… sasaran utama – anjing yang ‘berpeleseran’ kat jalan.

Getah beku ni dikumpulkan dan masukkan dalam bekas plastik. Bila tiba masa untuk menimbang getah, getah beku juga akan ditimbang tapi harga getah beku amat rendah berbanding harga getah cair asli. Yang tak best bila time angkat getah beku atas basikal atau motor sebab kalau air getah beku yang bacin ni terkena pada kaki bukan sahaja baunya yang tak enak tapi kaki pun akan cepat terasa gatal kalau lambat dibasuh.

Bau bacin getah beku yang melekat pada tangan ni tak mudah nak hilang walau pun kita gunakan sabun wangi. Tapi saya akan cuci sebaik mungkin sebelum menjamah makanan bila sampai di rumah.

Bagaimana pun arwah bapa saya tak sanggup makan menggunakan tangan kerana bau bacin ni. Dia lebih selesa menggunakan sudu dan garpu (macam mat salleh), tapi dia lagi hebat dari mat salleh sebab semasa dia menggunakan sudu dan garpu langsung tak kedengaran bunyi detikan sudu dan garpu pada pinggan. Itu semua pasal penangan getah beku dan sekerap.

Seingat saya semasa saya berada dalam darjah dua, setiap hari sebelum ke sekolah saya akan membantu emak saya untuk membersihkan getah beku. Ini menjadi routine harian. Masa tu belum pandai menoreh lagi. Lebih kurang dalam pukul 9 atau 9.30 tugas saya pun selesai dan saya terus pulang untuk ke sekolah pula.

Pada masa itu sama sahaja samada pada hari persekolahan atau waktu cuti sekolah, saya tetap kena bantu emak dan bapak saya memungut getah beku. Makan angin atau melancong pada musim cuti sekolah bagi saya adalah di bawah pokok getah sahaja.

Saya tak pernah minta apa-apa dari kedua orang tua saya untuk bercuti atau melancong. Tak macam anak-anak zaman sekarang, dalam serba kemewahan pun masih nak demand macam-macam dari mak bapak.

Sekarang ni bila saya cuba ceritakan keadaan kesusahan saya semasa kecil kepada anak-anak nampaknya mereka macam tak faham. Ya lah getah beku atau sekerap pun mereka tak pernah tengok mana nak faham.

Anda bagaimana? Membantu emak bapak di ladang getah juga ke atau ke bendang atau emak bapak makan gaji dan hidup agak senang? Ini semua ketentuan Illahi, tak siapa yang mahu dilahirkan dalam keluarga susah, betul tak?

Bagaimanapun saya amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan kejayaan kepada saya dalam membina kehidupan ini. Saya tidak perlu pergi menoreh atau mengambil buah kelapa sawit untuk menyara keluarga seperti kedua ibu bapak saya. Anda bagaimana?

Leave a Reply