Saya mendapat Dermasiswa JPA semasa belajar di UTM. Selepas menamatkan pengajian Diploma Elektrik Perhubungan (DEP) pada 1983 saya telah ditawarkan jawatan sebagai Pembantu Teknik di Telekom oleh JPA. Saya diarahkan supaya melapurkan diri di Ibu Pejabat Jabatan Telekom Malaysia, ketika itu di Bukit Mahkamah Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Semasa melapurkan diri saya hanya mengenakan T-shirt tanpa kolar dan rambut saya pada ketika itu stail ‘Afro’ macam David Arumugan Alleycats.
Bila keluar dari bilik Pengarah saya telah ditegur oleh sekretari beliau, “Nasib awak baik tak kena pergi gunting rambut dulu baru boleh lapur diri”. Saya agak terkejut dan terus bertanya, “Ehh rambut saya panjang ke?” “Taklah panjang tapi tak kemas. Semalam ada seorang TA baru kena marah dan disuruh gunting rambut dulu baru boleh masuk lapur diri” jawab sekretari tadi.
Saya hanya mampu tersenyum dan kemudian duduk sementara menunggu surat lapur diri untuk bertugas disiapkan. “Baru lapur diri dah kena marah?” kata saya dalam hati. Alhamdulillah saya tak kena marah atau kena lecture oleh Pengarah. Selamat.. selamat.. lega betul hati.
Selepas menunggu beberapa ketika kerani di pejabat berkenaan menyerahkan kepada saya surat berkenaan.
Pada ketika itu saya merasa sangat gembira kerana di tempatkan di Pejabat Telekom Tempatan (PTT) Kluang, Johor. Dekat dengan rumah mak abah, mana tak gembira. Ada rakan saya yang diarahkan bertugas di Sabah dan Sarawak, tapi nasib saya agak baik kerana ada kekosongan jawatan berkenaan di Kluang. Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah jua.
Bilamana saya teringat kisah ini saya tersenyum sendirian dan mengucap syukur kepada Allah. Sebenarnya banyak yang kita tidak ketahui tentang ketentuan Allah dalam merencanakan perjalanan hidup ini. Bukan saya menafikan perlunya usaha dan ikhtiar dilakukan tetapi pentingnya doa dan harapan kepada Allah untuk memperkenankan keinginan dan hajat kita.
Anda bagaimana? Kena bertugas di perantauan atau dapat balik kampung?