Jika anda berjalan dalam ladang getah anda mungkin dikejutkan dengan bunyi letupan kecil diikuti dengan bunyi deraian benda jatuh ke tanah. Anda tak perlu takut. Itu hanyalah bunyi buah getah yang pecah apabila sudah matang. Buah dan biji getah boleh didapati dengan banyak sekitar bulan September hingga Disember sebelum musim daun getah gugur pada
sekitar Februari dan Mac setiap tahun. Ini adalah mengikut pengalaman saya 40 tahun dulu. Sekarang saya tak pasti sebab sudah 23 tahun tidak ke ladang getah.
Apa yang boleh dibuat dengan biji getah? Ada orang kata boleh buat tempe. Betul ke? Semasa di sekolah rendah dahulu saya kerap bertanya kepada nenek saya mengenai tempe biji getah. Katanya memang ada orang buat tempe dari biji getah untuk dimakan. Itu pun masa zaman penjajahan Jepun dulu. Tambahnya lagi, kalau tak tahan makan tempe ni boleh mabuk. Saya tak pernah rasa pun tempe biji getah, tapi kalau tempe biasa tu memang favourite.
Hemm… ada satu lagi guna biji getah ni, terutama kepada kaki pancing. Biji getah boleh dibuat umpan untuk memancing. Caranya saya tak pasti tapi ikut kata abang saya kena rebus dan tumbuk dulu kemudian gaulkan dengan apa ya… tak ingat pulak. Mana nak ingat saya bukan kaki pancing.
Hei… biji getah kalau dijual laku ke tidak? Apa pendapat anda? Anda percaya tak kalau saya kata saya pernah menjual biji getah? Begini cerita nya…
Ketika itu saya berada dalam darjah dua di Sekolah Jubli Intan Rengam. Setiap pagi sebelum kesekolah saya akan ke ladang getah untum membantu emak membersihkan getah beku dari cawan getah. Semasa berjalan balik dari ladang getah ke rumah saya kerap terjumpa dengan biji getah. Walau pun tak ambil pusing tapi saya perasan suatu perkara. Saiz biji getah berbeza-beza mengikut jenis pokok getah.
Terdapat tiga atau empat jenis pokok getah yang di tanam di estet tempat saya tinggal. Saya tak tahu jenis atau spesis pokok getah yang ditanam tapi saya dapat membezakan jenis pokok getah melalui saiz pokok getah. Perbezaan saiz pokok getah amat ketara pada blok ladang yang berlainan.
Kawasan atau blok pokok getah yang mengeluarkan getah yang banyak biasanya mempunyai biji getah yang lebih besar berbanding dengan biji getah dari pokok getah yang kurang hasil getahnya. Saya selalu membandingkan biji getah yang saya kutip dari ladang tempat emak saya menorah dengan biji getah dari blok lain yang saya dapati semasa perjalanan pulang.
Bukan sahaja saiz biji getah yang saya bandingkan tapi saya juga menguji kekuatan kedua-dua biji getah berkenaan. Ujian kekuatan atau ketahanan dibuat dengan meletakkan kedua-dua biji getah pada telapak tangan dan menekan kedua-duanya serantak. Mana yang lemah akan pecah. Tapi kalau kedua-duanya kuat, tapak tangan saya yang sakit, adoohh!
Saya akan menyimpan beberapa biji getah yang telah saya uji untuk dibawa ke sekolah. Di sekolah ramai rakan-rakan yang tidak pernah lihat biji getah sebab kebanyakan dari mereka adalah anak anggota PPH.
Selain dari menunjukkan kepada mereka biji getah, saya pun buat sedikit iklan pasal ‘uji kekuatan’ biji getah. Akhirnya ramai yang berminat untuk mendapatkan biji getah dan saya berjaya menjual biji getah kepada mereka.
Yang kecil sedikit saya jual sepuloh sen dan yang besar dan kuat say jual limbelas sen. 10 sen dan 15 sen 40 tahun dulu boleh dapat mee sepiring kat kantin sekolah.
Selain dari itu saya juga pernah menggunakan biji getah kering untuk membuat ‘kipas’. Alah… ambil benang, daun nangkan, lidi dan biji getah kering. Buat kipas tarik-tarik tu la…
Sekarang ni zaman barang naik harga… agak-agak kalau jual biji getah boleh tak tampung duit belanja? Anda bagaimana, pernah lihat biji getah ke?
Posted by azmitaufik
Posted by azmitaufik
Posted by azmitaufik